Bila Ibu kita sudah tua.
Ibu kita ini sering kesunyian. Ibu sering ketakutan. Ibu sering dilanda kerinduan. Dahulunya hidup si Ibu bertemankan suaminya yang dicintai. Kini teman sehidupnya telah lama pergi. Janji semati tidak mampu lagi ditepati. Tinggallah si Ibu sendirian meniti hari.
Jika kita letak diri di tempat Ibu sebegini, mampukah kita menjawab soalan - soalan yang bermain di fikirannya? Dapatkah kita mendengar bisikan hatinya tanpa menitiskan sedikit pun air mata?
Nah, rasakan sedikit apa yang bermain di fikiran Ibu kita.
"Suamiku, kenapa kau pergi dulu? Kenapa tinggalkan sayang sendirian? Suamiku, sayang rindu, bagaimana sayang nak menjalani kehidupan ini? Sayang takut, sayang sunyi. Sayang tak boleh hidup seorang diri. Tolong la kembali suamiku. Sayang tak biasa. Kita selalu buat semua benda bersama. Kenapa pergi dulu? Apa sayang nak buat ni? Sayang takut sangat."
Pada ketika dan saat saya menaipkan ayat di perenggan di atas, saya benar - benar menangis teresak - esak seperti anak kecil. Itu baru sedikit sebenarnya. Tak mampu untuk saya selami lebih dalam lagi. Hati saya terasa amat kecil seperti dipicit - picit menjadi sekecil guli. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Janganlah ditegur kenapa Ibu sering teringatkan apa yang arwah Ayah suka dan sering lakukan bersama. Berpuluh tahun lamanya, pasti ada perkara yang akan melekat di dalam fikiran Ibu selama - lamanya. Pasti setiap yang pernah disentuh, akan terasa, setiap kebahagiaan yang pernah dikecapi, akan diingati.
Jangan berani cakap mengenai "move on" dan hidup mesti diteruskan. Jika kita tidak pernah merasakan kehilangan teman yang berpuluh - puluh tahun lamanya bersama, kita tidak akan sekali - kali pun faham kerinduan dan kehilangan yang telah Ibu lalui sehinggalah kita laluinya sendiri nanti.
Jangan kamu biadap mencadangkan pengganti. Ibu sudah tahu siapa menunggunya di syurga nanti. Orang yang paling dicintai iaitu si suami.
Umur yang tua membawa seribu kesakitan. Amalkan bertanya bagaimana keadaan kesihatan Ibu kita. Temanlah Ibu ke hospital bila perlu. Sekarang semuanya sudah terbalik. Ingatkah kita pada saat kita kecil dahulu? Betapa kita takut untuk berjumpa Doktor? Namun, pimpinan tangan Ibu menenangkan segalanya. Sama seperti sekarang. Ibu kita seperti anak kecil yang ketakutan, percayalah yang dia amat memerlukan penenang jiwa iaitu kita anaknya.
.
Akhir kata, janganlah kita jadi anak yang tidak mengenang jasa. Di saat kita dalam kesusahan, Ibu antara yang pertama menghulurkan tangan. Setiap kali kita rasa mahu marah kepada Ibu, fikirkan apa yang telah kita sumbangkan kepadanya? Adakah sama dengan yang pernah kita terima? Jika tidak, lebih baik diam sahaja dari berkata - kata. Kerana tanggungjawab kita tidak akan setara. Betapa banyak pun emas permata dalam dunia, kita tidak mampu memberi Ibu nyawa.

